Tuesday, March 23, 2010

Assalamualaikum Sang Arjuna…...

Salam pembuka bicara, dari hatiku yang kegersangan dan bungkam. Walau di luar mentari menyinarkan cahayanya, namun aku terasa kedinginan membeku sehingga ke tulang hitamku.

Semalaman aku tidak bisa melelapkan mataku. Bayangan bayangan yang berbagai arca menerjah ke ruang mindaku yang sempit. Berlumba lumba menukar acara dan bersilih ganti memaparkan keluhan minda yang terasing di lubuk sepi.

Aku memandang wajah kedua puteraku yang sedang lena di buai mimpi. Sesekali mereka merengek kecil. Mereka bermimpi ku kira. Mimpi apakah anak anakku ketika ini? Ku lihat si adik begitu lena dalam dakapan lasak si abang. Sesekali si abang merengus dan gelisah. Masih di dalam kepompong mimpikah anak anakku ketika ini sedangkan aku dalam pelukkan resah yang tiada berpenghujung.

Ku tonton di kaca televisyen, cerita anak anak yang berebut makanan di Negara miskin. Di hujani pertolongan kemanusiaan dan tiada kebebasan juga makanan di Negara mereka sendiri. Hidup dalam kedaifan, tanpa pakaian mahupun pelajaran. Pandanganku masih tertumpu di kaca televisyen. Cuba mengalihkan rasa simpati dan keibuanku kepada dunia nyata yang penuh dengan syaitan bertopeng manusia yang sekongkol dengan wang dan keganasan. Sekonyong tiba naluri keibuan menerjah resah, mendakap emosi permainan insani. Aku teliti hatiku sendiri. Aku biarkan rasa mengubah selera dan ku biarkan nada walau tidak sehaluan lagi. Ku biarkan rentak merubah rasa dalam nada pilu yang sepelaung cuma.

Anak, biar keringat membasah di seluruh tubuh mama. Biar mama berputih tulang, tapi tidak sesekali mama berputih mata mempertaruhkan nilai anak anakku. Biar jasadku hancur di telan bumi mahupun di toreh pisau belati, namun mama percaya yang mama akan mampu menanggani. Aloy dan Danish, walau cahaya yang ada sudah hampir berarak meninggalkan jejak yang tidak berpenghuni di samping kita, usah dikau ragu dan tangisi. Tidak akan mama biarkan anak anak mama mati dalam nafas yang berseruling perindu. Anakanda masih tetap ada mama di sampingmu, walau nyawaku menjadi taruhan!

Sayang, andai dikau kecewa kerana kasih yang tidak kesampaian, mama lagi kecewa sayang. Mama kira kasihnya bisa mengganti kasih papamu namun manalah kita tahu kasihnya sejengkal cuma, umpama embun di pagi hari. Bilamana terbitnya matahari, akan hilanglah ia. Sabarlah anakku…..

Mama.