Tuesday, June 29, 2010

Assalamualaikum Abang Hairusnizam Bin Alwi.

Assalamualaikum abang yang ku rindukan selalu. Hatta jasad abang tiada di sisiku, hatiku tidak pernah berpaling mahupun berkurang kasih sayangku padamu abang. Ketahuilah abang, beb masih mengingati abang sentiasa. Tidak pernah berkurang perasaan dan ingatan biarpun abang telah kembali ke alam yang kekal.

Malamku masih suram bang. Kekadang masih terisi dengan sebak dan airmataku. Masih mendoakan abang di sana dan tatkala yang sama, masih tetap merasakan keberadaan abang dengan kami. Beb masih ingin melihat abang, menyentuh abang dan menjaga abang walau semua itu hanya tinggal kenangan yang tidak akan kembali. Bayangan dan kenangan silam kita tidak akan pernah pudar dari kotak ingatanku bang. Sebagaimana walau abang tiada lagi di depan mataku, tiada lagi di sisiku dan tiada lagi ku dengar suara abang di cuping telingaku… namun beb masih merasakan kehadiran semangat abang walau hanya di dalam gambar!

Anak anak sudah semakin membesar. Adik sudah semakin bijak dalam serba serbi walau badannya saja yang tak naik naik bang. Anak anak masih menyebut papa. Masih bercerita mengenai papa. Masih tetap mendoakan agar papa aman dan di lindungi di sana. Kami masih mengimbau kenangan kenangan kita bersama dan kadangkala masih tetap bergelak ketawa tatkala bercerita kenangan yang lucu masa kita bersama dulu. Cuma adik kadang kala bersembunyi di sebalik dinding atau di bawah selimut dengan airmatanya yang bergenang dan suara tangisan yang di perlahankan. Bersembunyi dari mama tatkala airmatanya mencurah ke bumi kerana merindui papa yang sudah tiada lagi di hadapan matanya.

Loy pula berlainan cara. Dia sudah remaja sekarang dan acapkali andai amarahku keterlaluan padanya, dia mempalingkan muka! Membuatkan beb rasa menjadi lebih marah tetapi bila tanganku menyinggah ke badannya, masih ku teringat pesan abang agar usah meletakkan tangan pada anak anakmu.

Namun bang, bukan mudah untukku lalui hari hari dengan perbagai kerenah dan situasi. Walau bagaimanapun kadangkala tatkala emosi atau nafsu menguasai diri, airmata saja yang menemani. Beb masih lagi seorang wanita bang, walau segagah manapun beb!

Al-fatihah untuk abang yang sentiasa ku sayang dan ku kenang setiap detik, walau hanya dalam bayangan.

Tuai padi antara masak.
Esok jangan layu layuan.
Intai kami antara nampak.
Esok jangan rindu rinduan.

Anak cina pasang lukah.
Lukah di pasang di Tanjung Jati.
Dalam hati tidak ku lupa,
Bagaikan rambut tersimpul mati.

Burung merpati terbang seribu.
Hinggap seekor di tengah laman.
Hendak mati di hujung kuku.
Hendak berkubur di tapak tangan.

Kalau tuan mudik ke hulu.
Carikan saya bunga kemboja.
Kalau tuan mati dahulu.
NANTIKAN SAYA DI PINTU SYURGA!

AL-FATIHAH UNTUK ABANG HAIRUSNIZAM BIN ALWI.

Salam sayang dari beb dan anak anak. Semoga bertemu lagi kita di SANA nanti bang!