Wednesday, December 23, 2009

Perjuanganku Belum Berakhir

This is my last poem to share tonight, which I wrote in year 1989. This is what I call as "PERJUANGAN" and for our life time, we still need to fight back and to win over victory. A toast to every one of us who taste the taste of failure just to win over every battles and bottoms up to all my friends. I CALL THIS WORLD AS SURVIVAL OF THE FITTEST! TOGETHER WE STRIKE FOR THE BEST.... Cheers! To my adorable Aloy and sweetheart Danish, may both of you learn life in every aspects and I will always guide you till my last breathe! Boys, may Allah SWT protect both of you always. Loves, Mama.


Di sini,
aku masih di sini,
di daerah ini,
demi,
memperjudikan nasib,
mempertahankan maruah,
memperjuangkan harga diri,
juga mempertaruhkan untung rugi,
biarpun hingga ke titisan darahku yang terakhir,
semata mata agar,
ilmu penuh di dada,
untuk membela,
anak bangsa negara tercinta.

Aku berjanji,
demi semangat kentalku,
akanku bangkit memperjuangkan,
harapan bangsa,
atas nama,
anak watan..... demi
IBU PERTIWI kebanggaan kita.

Mimpi?

Masih lagi berkisar puisi lama semasa Zu berusia belasan tahun. Walau ianya satu puisi yang mungkin tiada mutu pada sesetengah pendapat, tetapi tetap Zu banggakan kerana ini nukilan rasa Zu sendiri.

Tatkala ini,
aku duduk termangu,
pandanganku kosong,
renunganku jauh melambai,
punah segala harapan,
dan impian.....

Suatu ketika dahulu,
ketika perjalananku masih punya tapak,
aku menapak penuh kebanggaan,
penuh keazaman,
penuh tekad.....

Kiniku kehilangan punca,
harapan dan cita cita,
yang satu ketika dahulu,
adalah nadi perjalanan hidupku,
aku kembali mencongak congak hari,
kembali mendambarkan hak,
maruah,
harga diri dan,
untung rugi.

Esok,
tiada kepastian,
setelah semalam menjanjikan kehampaan,
kedukaan dan kegagalan,
seharusnya esok,
ku tebus segala kesalahan,
dan kesilapan,
semoga tertera sinar kebahagiaan.....

Ketawa, Menangis, Meraung Dan Menjerit

Ini juga adalah simpanan lama. Masa itu baru nak belajar menzahirkan puisi. Budak baru belajar. Baru berusia 18 ke 19 tahun. Baru bermain main dengan mata pena. Jadi banyaklah kepincangannya. Menulis mengikut rentak sendiri. Bahasa dan ayat yang sangat straight forward dan sebagainya. Namun, ku punya hati..... punya hati untuk menulis.

Ketawa,
bukan hanya tanda gembira,
menangis,
tidak semata mata kerana berduka,
meraung,
tiada bererti gila,
menjerit,
boleh menyebabkan tekak terasa perit.

Namun,
ketawa, menangis, meraung dan menjerit,
adalah perkara biasa,
lakonan sehari hari,
permainan insani,
semuanya!
Mengandungi makna yang tersendiri.

Akhirannya,
aku pasrah ke hadrat ILLAHI,
yang berkuasa di langit dan di bumi,
juga segala yang tersirat,
yang tidak kita ketahui,
dan yang tidak dapat kita lihat.

Tuesday, December 22, 2009

Esok Masih Ada

Malam ini, Zu rasa seronok nak membongkar kertas kertas lama dalam simpanan di laci almari baju. Laci itu Zu simpan kertas kertas lama yang bermakna. Kadang kala memang tak ingat apa yang ada di dalam laci tu. Antara yang akhirnya membuatkan Zu tersenyum ialah beberapa keping kertas lama yang bertaip beberapa puisi yang Zu buat sekitar tahun 1989 hingga 1991. Ini adalah antaranya. Rasanya ini Zu tulis ketika frust senonggeng kot, sebab macam orang putus cinta saja gaya bahasanya. Mungkin lah kot..... Nama samaran yang Zu gunakan untuk puisi budak baru nak naik ketika itu ialah BUNGA TOMATO. Masa tu Zu berusia sekitar 20 tahun. Iaitu hampir 20 tahun yang lampau!

Ketika ini,
tatkala aku keseorangan,
aku di ulit mimpi lagi
mimpi mimpi indah,
juga mimpi mimpi ngeri,
lantas membuatkanku berfikir,
apakah ini takdir dari NYA,
entahlah.....
walaupun berat,
tapi ! Itulah kemungkinannya.

Berdirinya aku di sini,
kini pasrah ke hadrat ILLAHI,
aku sudah tidak gentar,
telahku bulatkan hati,
tekadku tersimpul sudah,
andainya itu kesudahan cerita,
apalagi yang bolehku jangkaukan,
"Hati orang tidak boleh di paksa"
tapi! Ingatlah,
berdirinya aku,
bukan untuk menagih kasih sayangmu,
andainya kerana terpaksa,
berdirinya aku,
adalah untuk menjadikan cerita,
walaupun,
sayang seribu kali sayang,
antara kau dan aku,
berakhir sudah satu episod,
dan apa yang ada kini,
adalah satu realiti kehidupan.

Akanku hadapi dengan tabah,
keranaku pasti,
esok masih ada.

Bahkan,
bunga bukan sekuntum,
kumbang juga bukan seekor.

Nasihat Dari Che Pah

Nasihat dari sahabatku Sharifah Hanum mengenai post Zu, (Abang Nizam - Al Fatehah)

Kita serupa che zue cuma mungkin dalam situasi yang berbeda......tetapi
haruskah kita terus-terusan menghukum diri menangisi sesuatu yang bukan
lagi menjadi milik kita?

Jangan Ditangisi Apa yang Bukan lagi Milikmu.

Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa sekali.
Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai, kenyataan
yang tidak sesuai harapan.

Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya jiwa,
masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran. Masih ada
kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu, majlis-majlis
dzikir yang akan mengantarkan pada ketenteraman jiwa.

Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar berbagai keinginan. Dan
memang manusia diciptakan mempunyai kehendak, mempunyai keinginan. Tetapi tidak setiap yang kita inginkan bisa terbukti, tidak setiap yang kita mahu bisa tercapai. Dan tidak mudah menyedari bahwa apa yang bukan menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar bahwa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia atau harus-harus yang lain.

Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahwa sejatinya itu semua pemberian Allah hingga membuatnya sombong dan bertindak sewenang-wenang. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan benar. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.

Apa yang memang menjadi jatah kita di dunia, entah itu rezeki, jawatan atau kedudukan, pasti akan Allah sampaikan. Tetapi apa yang memang bukan milik kita, ia tidak akan kita bisa miliki. Meski ia nyaris menghampiri kita, meski kita mati-matian mengusahakannya.

"Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.." (al-Hadiid: 22-23)

Maka wahai jiwa yang sedang gundah, dengarkan ini dari Allah:

Maka setelah ini wahai jiwa, jangan kau hanyut dalam nestapa jiwa berkepanjangan terhadap apa-apa yang luput darimu. Setelah ini harus benar-benar difikirkan bahwa apa-apa yang kita rasa perlu di dunia ini harus benar-benar perlu, bila ada relevansinya dengan harapan kita akan bahagia di akhirat. Kerana seorang Mu'min tidak hidup untuk dunia, tetapi menjadikan dunia untuk mencari hidup yang sesungguhnya: hidup di akhirat kelak.

Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu lagi !!!!.....

Dari Sharifah Hanum

=====

P/S - Che Pah, terima kasih sahabat. Hidup perlu pesan memesan. Terima kasih kerana masih ingat untuk pesan memesan padaku. Sesungguhnya kadang kala kita lalai. Asyik bermuram durja sehingga kadang kala apa yang sepatutnya kita lakukan, telah tanpa sengaja kita abaikan. Kadangkala pula, sedang ada hati anak anak yang patut kita tenteramkan, kita pulak yang melebihi dari mereka sehingga acapkali kita gagal memberikan contoh yang terbaik untuk anak anak kita. Terima kasih Che Pah.

Monday, December 21, 2009

Puisi dari Abang

Terima kasih abang kerana sentiasa prihatin pada Zu dan anak anak. Terima kasih kerana abang sentiasa mengambil berat dan mengambil tahu hal dan kesusahan kami. Terima kasih abang kerana kasih dan sayang abang. Sesungguhnya memang bukan mudah untuk Zu dan anak anak. Walau kami gelak ketawa, tetapi hati di dalam, siapa lah yang tahu melainkan Allah swt saja bang.

Kata abang, "hati ini bagai tersentak bila membaca rintihan hati mu"

Sebuah puisi dari abang.

Senja masih mengusung rindu,
rindu sekelompok jiwa,
meraut hiba,
pedih memanah hati,
beriring panah tohmah dan iri,
hanya sendiri menampi sepi.

Ranjau dan duka mu bakal terubat,
hanya tabah erat bersahabat,
bukan tangan tangan yang berjabat,
di belakang runcing di depan pepat.

Di hadapanmu masih ada harap,
bukan igau bukan mimpi,
cuma mereka yang berhati gundah gagal merebut takhta,
terus menghunus tohmah dan fitnah,
bacalah;
'dari Allah ia datang,
kepada Allah ia akan kembali'

Yakinlah;
'biar 'abbabil' melontar 'fil' dengan batu dari neraka,
sehingga hancur seperti daun kering di mamah ulat'

Berdoalah sayang,
kerana,
doa orang teraniaya itu makbul.

Amin.

Insyaallah.

Abang Nizam - Al Fatehah

Apology Dan Kenangan Untuk Arwah Abang Hairusnizam Bin Alwi. Al-Fatehah.

Assalamualaikum abang. Hari ini Beb menulis lagi. Tetapi tiada puisi untuk abang hari ini. Yang ada adalah luahan rasa Beb beberapa hari ini.

Abang, Danish asyik tidak berasa sihat akhir akhir ini. Tiga hari lalu dia menangis pukul 1++ pagi sehingga pukul 2++ pagi. Sejam lebih Beb pujuk adik yang menangis tanpa henti kerana merindui abang. Apa salah kami bang? Mungkin agak lama sudah anak anak tidak menatap wajah abang. Itulah sebab adik asyik menangis dan kata rindukan papa. Semalam adik hampir menangis lagi tetapi cepat cepat Beb pantau.

Malam tadi adik menangis lagi di ikuti dengan demam. Dan muntah. Habis cadar dan tilam, adik muntah sedang asyik tidur. Sebenarnya adik tertidur semasa menangisi abang. Itu lah sampai termuntah pulak dalam tidurnya. Mungkin adik sangat merindui abang. Tetapi apakan dayaku bang. Walau segunung dan selautan rindu pun tidak akan dapat mengembalikan abang. Apa yang harus Beb lakukan lagi bang? Airmata Beb masih lagi mengalir. Mengalir tanpa haluan. Mengalir tanpa sempadan. Menangis tanpa henti. Abang, jika ini penebus dosaku bang, ampunilah Beb. Tidak sanggup melihat anak anak menangis merindui abang. Luluhnya hatiku abang! Luluhnya hati Beb!

Abang, andai boleh Beb putarkan masa, biarlah Beb menjaga abang seumur hidup Beb. Selama Beb menjaga abang sakit pun, Beb tak pernah merungut apatah mengherdik abang. Tetapi kami kehilangan abang juga akhirnya.

Abang, mengapa bang? Mengapa kita tidak di berikan kesempatan untuk menebus semua kesilapan dan kesalahan agar dapat kita pintal semula kekurangan dan kepincangan dalam hidup kita? Mengapa bang? Andai ku tau betapa siksanya anak anak, berkongsi nyawa pun Beb sanggup bang.

Abang, kenapa bang? Kenapa????

Adik dah pun tidur. Tidur dalam airmatanya. Tidur dalam sendu seorang anak. Apa yang adik tahu bang? Adik hanya berusia lima tahun! Hati Beb bagai di sayat sayat bang. Apalah ertinya semua ni bang? Beb dah tak tahan lagi. Sedangkan menempuh hidup seharian pun dah terasa sangat keletihan, inikan tatkala melihat penderitaan anak.

Abang, hidup kami terasa bagai mimpi. Abang, hadirlah di dalam mimpi mimpi kami bang. Zahirnya abang tak ku jangkaukan. Tanganku tak sampai bang…….

Abang…..

21 December 2009.
10.00 malam.

Sunday, December 20, 2009

Abangku Sayang

Abangku sayang,
Awan yang mengiringi tiba tiba kelam,
Suasana ceria bertukar suram,
Abang melindungiku dengan bayangmu,
Aku rasa sungguh terharu.
Kesungguhan abang bukan mainan,
Sayang abang bukan taruhan,
Kasih abang mengalir di dalam darahku
Bersatu dalam hati yang satu.

Abangku sayang,
Bilamana hati menjadi satu,
Aku tidak akan menoleh ke belakang lagi,
Aku tidak mahu keliru,
Sejarah hitam biarkan berlalu,
Semua insan berbuat kesilapan,
Kisah silam kita lupakan,
Kita buka lembaran baru,
Takkan selamanya duka kita berlagu sendu,
Untuk di umpat nista para seteru.

Abangku sayang,
Keyakinan dan sayangku tidak akan goyah,
Kepercayaanku tidak akan rekah,
Jiwaku tidak akan resah,
Walau akhirnya jasadku rebah,
Kerana…..
Hatiku hanya milik abang.

Zu ‘De Mafia Mom

Friday, December 18, 2009

Bukan Sedikit

Ku lihat seawal subuh sudah ada sebuah puisi dari abang. Terima kasih abang kerana di dalam kekalutan yang melanda diriku, abang masih tetap utuh dan masih tetap tidak berganjak dari sisiku.

Sesungguhnya memang bukan mudah untukku lalui ini semua tanpa abang bersamaku. Kasih dan sayang yang abang hulurkan padaku menjadi sebuah simpulan jambatan indah di sanubari dan akan sentiasa mekar tanpa prejudis.

Terima kasih abang!

Salam sayang,
Zu

=====
Sebuah puisi dari abang. Terima kasih abang kerana kasihmu yang tidak pernah basah dek hujan dan tidak pernah lekang dek panas. Terima kasih abang untuk puisi yang indah ini.

Bukan sedikit.

Bukan sedikit kasih ku curah,
cuma masih tersekat dek halangan masa.

Bukan sedikit doa ku limpah,
cuma belum termakbul dek ujian yang Esa.

Bukan sedikit ujian menerjah,
cuma bersabar dek permainan dunia.

Bukan sedikit kesabaran ku sembah,
cuma cekal dek akal waras insan mulia.

Bukan sedikit air mata tertumpah,
cuma hiburan dek angkara fitnah.

Bukan sedikit azam yang singgah,
cuma menunggu keberkatan Maal Hijrah.

Kita punya rasa,
kita punya cita,
kita punya bahagia,
kita punya suasana.

Lihat di luar sana,
jalan masih terbentang luas,
bukan batil atau mencari alas,
tapi mata mata liar memandang beralas belas,
sebenarnya iri kasih tidak berbalas.

Sayang,
kukuhkanlah imanmu dengan ikhlas,
nanti,
ke mana kau pergi Allah memandang dengan belas,
percayalah,
mereka itu hanya pencantas.

Berdoalah agar mereka di beri hidayah,
membimbing naluri untuk berhijrah,
bukan sekadar berlindung di ruang sempit,
tanpa doa dan matlamat,
hingga terjadilah si gajah di lontar ababil,
hancur seperti dedaun kering di makan ulat.

Teruskan perjuangan kita,
hingga ke noktah akhir,
dan bukan ku pinta mereka,
seperti penjual kayu kering tiada pembeli,
terputus silaturahim terputus rezeki.

Kita hanya insan kerdil,
usah putus doa,
usah putus harap,
usah putus usaha,
insyaallah Maal Hijrah membuka ruang untuk kita.

Al Fatehah - Hairusnizam Bin Alwi

Apology dan kenangan untuk arwah abang HAIRUSNIZAM BIN ALWI. Al Fatehah.

Abang,
Walau hidup kita dulu selalu tidak sehaluan,
Walau hidup kita dulu sentiasa tidak aman,
Walau hidup kita dulu kerap tidak keruan,
Seperkara yang aku pasti,
Aku tetap setia sebagai isteri abang,
Aku tetap ada untuk menjadi tulang belakang abang,
Aku tetap teguh untuk susah bersama abang,
Walau hatiku merintih,
Walau kasih menjadi kudis
Walau nanah menjadi hidangan.

Namun abang,
Pabila abang tiada,
Walau di satu sisi,
Aku bebas dari belenggu derita mu,
Tetapi terlalu banyak onak menanti di hadapanku,
Terlalu banyak racun mengalir di sungai kalbu.

Abang,
Andai ku tahu,
Betapa hebatnya cabaran menantiku,
Inginku pergi bersama abang,
Biarlah aku tidak menjamah bahagia.

Abang,
Sampai bila aku harus begini?
Onak dan duri mencacak di tapak kaki,
Darah mengalir lesu,
Berlagu merdu dalam ratapan pilu.

Abang,
Mereka kah itu?
Yang menolakku ke kancah duka,
Yang menghiris hatiku dengan kata kata mereka,
Yang kononnya menyayangiku umpama saudara,
Tetapi benarkah atau berselindung di sebalik rupa!

Abang,
Apakah mereka fikir aku ini sudah lupa,
Hanya kerana kini aku merasa setitis bahagia,
Yang hadir bersama seseorang yang aku damba,
Yang hadir menjanjikan aku bahagia,
Walau hakikatnya masih juga belum ku pasti arahnya,
Biarlah takdir menentukan segala.
Lagi pula aku sudah lali dan sebati dengan derita,
Apa lah sangat untuk sekali lagi tidak bahagia!

Namun abang,
Hati ku memang benar benar menjadi korban,
Korban kepada perasaan,
Perasaan angkuh para sahabat,
Yang langsung tidak bersepakat,
Apa tah lagi mahu berjabat,
Sedangkan aku amat keletihan,
Merasa haus dalam perjalanan,
Mengharap kasih sahabat,
Tetapi lihatlah apa yang aku dapat.

Abang,
Sesungguhnya aku sudah tidak larat,
Untuk terus mengutar pendapat,
Kerana fikiran ku sudah penat,
Memikir mana seteru mana sahabat.
Mana manis dan mana kelat,
Mana racun dan mana ubat.

Abang,
Walau hakikatnya abang di sana,
Semoga abang sentiasa dalam lindungan dan keredhoanNYA,
Perginya abang ku iringi doa,
Sesungguhnya aku tidak pernah lupa,
Namun aku harus memandang ke hadapan,
Demi putera putera yang sedang membesar,
Walau apa pun yang akan mendatang,
Walau apa pun perubahan di dalam kehidupan kita,
Aku akan memegang teguh segala janji dan amanah,
Zuriat abang sentiasa ku jaga,
Sehingga masanya tiba,
Bertemu abang dan putera putera,
Di alam akhirat semoga bertemu
Aloy dan Danish anak anakmu.

Aku?
Ku peluk abang rupanya angin,
Ku cium abang rupanya bayangan,
Ku kejar abang rupanya misteri,
Ku lambai abang rupanya mimpi.

Tolonglah aku abang,
Bagaimana lagi harus ku tempuh esok dan hari hari mendatang,
Pada derita yang tanpa ku undang.

Abang,
Salam Maal Hijrah 1431.

ZUBAIDAH BINTI AYOB

Thursday, December 17, 2009

My Heroes



A salute to my beloved heroes. All these years we have been together through thick and thin. Of all the sudden, god took away one of us, leaving three of us to keep the ball rolling. Even how hard it had been on me. Even how difficult for me to face all these, I will always keep my vow, to protect my two little angels.

A toast to us and please have faith in Mama. Mama will sacrifice even myself to ensure my beloved and adorable Aloy and Danish, a wonderful life ahead. Believe and trust in Mama. Together we will hold each other hands. And hands in hands, we will walk along the pathway together.

Mama

Tuesday, December 15, 2009

Anak Bangsaku Kah Itu?

Saudaraku sekalian,
Usahlah dikau merenung kepulan kepulan awan itu,
Kerana renunganmu itu menghiris hatiku,
Mengapa?
Mengapa dukamu masih membusuk?
Mengalir hanyir di lautan nanah,
Bangkitlah,
Bangkitlah,
Marilah bangkit bersamaku,
Mari bersama menuju kejayaan,
Bergerak maju ke petak hadapan.

Usahlah dikau ragu,
Aku masih tetap teguh bersamamu,
Mengejar bahagia dan cita cita.

Usahlah dikau gusar,
Aku kan terus menyokongmu,
Khabarkan berita gembira,
Kejayaan bakal berlagu,
Ke arah puncak menunggu,
Kejayaan harus terus di buru.

Majulah bangsaku,
Majulah dengan jaya,
Sebagai anak jati warga merdeka!
Aku tersenyum puas,
Melihat anak bangsaku,
Megah berdiri dengan bebas.

Anak bangsaku,
Saat aku meninggalkan jejak,
Kau pewaris pemangkin wacana,
Usah bertarung sia sia,
Harus di gerakkan dengan bijaksana,
Semoga dikau kukuh dan kebal,
Memudik arus kemodenan global
Dengan semangat jitu yang menebal
Utuh mewarisi sebagai anak jati Malaysia yang handal!

Zu ‘De Mafia Mom

Thursday, December 10, 2009

Di Medan Ini Segalanya Bermula

Lately I am in the mood of writing. So, what to do?.. Here I am with my poem again.

Cheers,
Zu
=====

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Aku di sini dan abang di sana,
Ada sendu di dalam jiwa.

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Aku hanya insan biasa,
Yang hanya ada jiwa dan rasa.

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Kasih abang ku semat di jiwa,
Jangan aku di persia.

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Habis sudah segala daya,
Hanya mampu ku tunggu saat dan masa.

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Ku nantikan abang sepenuh hati dan jiwa,
Jangan sengsara pula di tuba.

Di medan ini segalanya bermula,
Ku harapkan berakhirnya juga secara mulia,
Akhir yang membawa berita gembira,
Kepada aku dan putera-putera.

Zu ‘De Mafia Mom

Wednesday, December 9, 2009

Anakanda Ku Aloy Dan Danish

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
menyusuri jalan berliku,
kita yang berarak bergandingan,
di bayangi awan kelabu,
juga di selimuti resah dan sendu.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
walau mencabar kemanusiaan kita,
biar di himpit pelbagai rasa,
namun kita usah bersengketa,
usah di hirau badai melanda,
bermuram durja hanya akan mengundang derita.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
usah di biar menguasai diri,
kelak merana jiwa dan hati,
semoga anakanda berdua tetap teguh berdiri,
walau apa pun yang menghampiri,
jangan leka dengan kesenangan duniawi,
pesan mama sematkan di hati,
agar anakanda berdua tetap di berkati dan di rahmati.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
biar merimbun di sanubari,
usah mudah alpa jatidiri,
ingat segala pesan mama dari dulu hingga kini,
sebagai bekalan di kemudian hari.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
bersimpul megah di dalam kotak minda,
tersergam mulia di dalam bingkai memori kita,
walau ini yang harus kita tempuh,
usah mudah melatah bila di sergah,
juga jangan lekas marah bila di terjah.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
walau ianya menghiris di kalbu,
mahupun membeku sedingin salju,
masih ada ikatan yang padu,
yang belum terlerai di puncak rindu.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
adalah kita yang berpelukkan,
menjadi nadi hidup mama,
bersama membina impian yang satu,
mengutip selingkar kisah kita yang syahdu,
biar sendu tiada yang tahu,
asal tidak mengundang seteru.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
marilah sayang marilah anakanda anakanda ku,
biar mama pimpin tangan tangan mungilmu,
walau kita di henyak gelora taufan,
tidak akan pernah mama memungkirkan,
apa yang telah mama janjikan.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
adalah kita yang di pinggirkan,
mengorak langkah demi sebuah kehidupan,
menentang arus berpaling arah,
meninggalkan jejak yang baru bertapak,
kitakah di sebalik kekecewaan itu?
di sisih untuk menggapai kasih,
di anjak di tolak demi sebuah hak.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
pandanglah wajah tua mama mu ini,
pernahkah mama memungkiri?
genggamlah janji yang kita pateri,
insyaallah sayangku,
walau hanya kita yang akan berdiri,
mama tidak akan pernah beranjak ketepi,
mama tidak akan pernah mengumpan memori,
demi sebuah keretakan yang tercalar di sini.
lihatlah anakanda anakanda ku,
ingatlah janji kita yang satu,
untuk bersama menyemai rindu,
demi sebuah kehidupan yang sempurna,
walau kita tiada berupaya,
menggamit kasih di alam nyata,
walau akhirnya berempat atau masih bertiga,
membaja ikatan kasih sayang kita.

Anakanda ku Aloy dan Danish,
jejak jejak kenangan,
sabarlah anakku dengan dugaan ini,
walau mama sememangnya tiada berdaya mahupun berupaya,
akan tetap berdoa ke hadrat Illahi,
semoga bahagia mengetuk pintu hati kita akhirnya.

Zu 'De Mafia Mom

Mimpi Di Dalam Mimpi

Unggas dan burung bersiul keriangan,
Tanda pesta mula menampakkan rupa,
Menari dan menyanyi semahu mahunya,
Sedangkan aku di sini memendam rasa.

Meriahnya pesta beraja di mata,
Melirik ke segenap ruang dan tika,
Aku kah yang bungkam di dalam keresahan,
Menanti bulan jatuh ke riba?
Sedangkan mentari merubah rasa,
Menahan bulan dari ikut serta.
Mencantas punggok yang setia di sana.

Aku yang teguh menanti di sini,
Hanya ada linangan airmata,
Ingin bersuara tidak berupaya,
Ingin bersua tiada acara,
Bertemu di alam maya,
Memintal kenangan di alam mimpi,
Sedangkan kasihku jauh di alam realiti.

Sedang aku menganyam impian,
Juga benang benang harapan,
Aku kadang tidak tahan emosi,
Walau aku sudah menjangkakan semua ini,
Adakah kita di hadapan sana?
Untuk ku hirup manisnya janji,
Sedangkan perjalanan tak terhitung peri,
Aku akan tetap setia menanti di sini,
Umpama mimpi di dalam mimpi!

Zu ‘De Mafia Mom

Monday, December 7, 2009

Aku Dan Masa

Di kejauhan ini,
cuaca dingin mengusap sehingga ke tulang hitam,
airmata mengalir deras membasahi bumi,
menutupi hati hati yang berbalam.

Di bawah pepohonan itu,
satu lembaga berdiri kaku,
merenung kosong ke arah aku,
ku hampiri perlahan lahan,
ku amati tanpa silu,
walau fikiran masih celaru.

Bila berdepan serasa gerun,
menerjah ruang hati yang sepi,
rupanya yang berdiri di antara cerun,
adalah bayangan diri sendiri.

Angin bergolak umpama beliung,
melenyapkan lembaga berjiwa kosong,
bilamana perasaan seumpama patung,
apa gunanya teriakan dan raung?

Badai datang dan jua pergi,
menyelimuti aku dalam kerakusan,
walau teriakan dan raung tiada bererti lagi,
aku terkedu dan termangu dalam keresahan,
keresahan yang tiada bernoktah,
yang tiada belas mahupun kasihan.

Di sini aku masih menghitung hari,
masih mencongak congak apakah akan ada mentari,
pada esok hari,
apakah akan ada sinar darinya,
walau hanya sekadar menghangatkan sekujur tubuh yang resah,
walau hanya sekadar menghiburkan hati hati yang kusam,
walau hanya sekadar menyimpul kenangan di hari semalam,
keterlaluankah aku mendambakan yang bukan hak ku,
keterlaluankah aku mengharapkan bulan jatuh ke ribaku?
sedangkan ku lihat mentari ceria menyinarkan cahayanya,
samada aku ada atau tiada.

Walau di sini bumi ku pijak,
hatiku masih tetap sentiasa mekar di sana,
walau di sini jasad ku berasa,
hatiku tidak pernah berpaling dari sisinya.

Sehingga ke akhir waktu,
selagi jasad masih berupaya,
selagi jiwa masih tetap setia
selagi hayat di kandung badan,
aku tidak akan pernah lupa,
siapa yang aku nantikan.

Aku dan masa adalah mangsa,
tetapi tidak pernah aku kesalkan!

Zu ‘De Mafia Mom