Wednesday, November 17, 2010

Bertemu kembali di OKU BOLEH

29 September 2010.

Salam kasih sayang untuk sahabat sahabat yang sentiasa rukun dan hidup dalam pesan memesan. Jutaan maaf dari kami andai akhir akhir ni menyepi tanpa khabar berita. Alhamdulillah kami sihat adanya dan ada beberapa rancangan tersusun untuk di laksanakan.

Andai hidup punca perpisahan,
Biarlah mati menyambungnya semula.
Tetapi andai mati punca perpisahan,
Biarlah hidup memberi erti yang nyata.

Subhanallah...
Mana suci ALLAH,
Ampunkan hambamu ini ya ALLAH.
Yang terleka dengan hiburan dunia,
Yang terlena dengan kasih sayang yang sementara.

Ku tadahkan kedua tanganku mengadapMU,
Ku suci dan utuhkan hatiku sebagai hambaMU,
Hidup pasti akan mati,
Yang salah akan timbul kebenaran,
Yang menindas nantikan saja hari pembalasan.
Setiap nafas yang ENGKAU berikan,
Kesyukuran aku panjatkan,
Semoga hari hari mendatang,
Membawa sinar kebahagiaan yang lebih jelas.
Semoga hari hari mendatang,
Membuka tirai kejayaan yang lebih luas,
Untuk kita.....

Wahai putera puteraku Aloy dan Danish,
Doa mama sentiasa mengiringimu setiap detik.
Senada dengan setiap nafas yang mama hembuskan,
Agar putera puteraku sentiasa dalam dakapan,
Yang maha ESA.

Wahai saudara saudaraku di OKU BOLEH,
Aku tidak akan lagi menoleh,
Walau pernah tewas dalam makrifat.
Selagi tangan masih berjabat,
Ku hulurkan tali silaturrahim sebagai pengikat,
Kasih sayang sebagai sahabat.

Aku dan putera puteraku,
Masih tetap menanti di sini.....

Beb 'De Mafia Mom

Monday, July 5, 2010

Khilafkah Aku?

Semua manusia di lahirkan dengan rasa.
Semua manusia di lahirkan dengan jiwa!

Namun,
Usah biarkan kekhilafan menguasai diri selamanya.
Andai terlencong dari landasan,
Berpatah pulanglah ke garisan.
Nescaya di situ akan bertemu aman.

Aku...
Walau mendabik dada mengusir memori,
Namun aku hanya manusia biasa yang tegak berdiri.
Walau kadangkala mulut mengundang sengketa,
Namun hatiku masih terpampang cerita.
Nada sendu masih tetap berlagu,
Walau telah ku nyahkan jauh jauh dari hatiku.

Aku.....
Hanya manusia biasa.
Memohon kemaafan dari yang maha ESA,
Andai banyak kekhilafanku yang ada,
Semoga ALLAH SWT mengampunkan kekhilafanku semuanya.

Amin.....

Zubaidah Ayob.

Tuesday, June 29, 2010

Assalamualaikum Abang Hairusnizam Bin Alwi.

Assalamualaikum abang yang ku rindukan selalu. Hatta jasad abang tiada di sisiku, hatiku tidak pernah berpaling mahupun berkurang kasih sayangku padamu abang. Ketahuilah abang, beb masih mengingati abang sentiasa. Tidak pernah berkurang perasaan dan ingatan biarpun abang telah kembali ke alam yang kekal.

Malamku masih suram bang. Kekadang masih terisi dengan sebak dan airmataku. Masih mendoakan abang di sana dan tatkala yang sama, masih tetap merasakan keberadaan abang dengan kami. Beb masih ingin melihat abang, menyentuh abang dan menjaga abang walau semua itu hanya tinggal kenangan yang tidak akan kembali. Bayangan dan kenangan silam kita tidak akan pernah pudar dari kotak ingatanku bang. Sebagaimana walau abang tiada lagi di depan mataku, tiada lagi di sisiku dan tiada lagi ku dengar suara abang di cuping telingaku… namun beb masih merasakan kehadiran semangat abang walau hanya di dalam gambar!

Anak anak sudah semakin membesar. Adik sudah semakin bijak dalam serba serbi walau badannya saja yang tak naik naik bang. Anak anak masih menyebut papa. Masih bercerita mengenai papa. Masih tetap mendoakan agar papa aman dan di lindungi di sana. Kami masih mengimbau kenangan kenangan kita bersama dan kadangkala masih tetap bergelak ketawa tatkala bercerita kenangan yang lucu masa kita bersama dulu. Cuma adik kadang kala bersembunyi di sebalik dinding atau di bawah selimut dengan airmatanya yang bergenang dan suara tangisan yang di perlahankan. Bersembunyi dari mama tatkala airmatanya mencurah ke bumi kerana merindui papa yang sudah tiada lagi di hadapan matanya.

Loy pula berlainan cara. Dia sudah remaja sekarang dan acapkali andai amarahku keterlaluan padanya, dia mempalingkan muka! Membuatkan beb rasa menjadi lebih marah tetapi bila tanganku menyinggah ke badannya, masih ku teringat pesan abang agar usah meletakkan tangan pada anak anakmu.

Namun bang, bukan mudah untukku lalui hari hari dengan perbagai kerenah dan situasi. Walau bagaimanapun kadangkala tatkala emosi atau nafsu menguasai diri, airmata saja yang menemani. Beb masih lagi seorang wanita bang, walau segagah manapun beb!

Al-fatihah untuk abang yang sentiasa ku sayang dan ku kenang setiap detik, walau hanya dalam bayangan.

Tuai padi antara masak.
Esok jangan layu layuan.
Intai kami antara nampak.
Esok jangan rindu rinduan.

Anak cina pasang lukah.
Lukah di pasang di Tanjung Jati.
Dalam hati tidak ku lupa,
Bagaikan rambut tersimpul mati.

Burung merpati terbang seribu.
Hinggap seekor di tengah laman.
Hendak mati di hujung kuku.
Hendak berkubur di tapak tangan.

Kalau tuan mudik ke hulu.
Carikan saya bunga kemboja.
Kalau tuan mati dahulu.
NANTIKAN SAYA DI PINTU SYURGA!

AL-FATIHAH UNTUK ABANG HAIRUSNIZAM BIN ALWI.

Salam sayang dari beb dan anak anak. Semoga bertemu lagi kita di SANA nanti bang!

Monday, May 10, 2010

Cukup Manusia kah Kita?

Menepuk dada bersangka manusia,
Yang ada peri mahupun bahasa.
Tetapi benarkah kau merasa?
Atau sekadar mahu berdusta?

Jangan di salahkan lantai yang tidak rata,
andai tarian tidak kita belajar.
Enak bercinta merubah dunia,
Sewenangnya sekonyong suka sekonyong bertukar,
Konon sikap tak sesuai di buat isteri?
Atau hanya menutup kelemahan diri sendiri?

Hari ni aku di persia,
ku tadahkan tanganku menghadap yang esa.
ku di salahkan juga akhirnya,
walau telah ku curahkan semua.
andai untuk sekadar melepaskan lelah seketika,
hilang dahaga berkemudilah semula.
tiba tiba kembali ke dunia nyata,
setelah seronok mempersenda.
Inikah yang di namakan cinta?
menyemai benih rasa mencipta petanda,
menyusun kata hebat di perkata.
Tiba masa kendur lah pula.
Menunggu bulan yang tak jatuh ke riba.
Rupanya menyinggah ke hati yang lain pula.
Sekejap di sini dan sekejap di sana.
Konon untuk menyinari cahaya agar adil saksama.
Walau hakikatnya hebah sedunia,
kasihmu memang selalu tak bertahan lama!
Terkenal sikap suka mempersenda,
Menghulur tali menyentap semula,
bila rasa masalah yang tak di duga.
Tak mampu bertahan demi sebuah cinta.
Sesungguhnya entah benar sayang entah tiada,
hanya mengungkap kerana suka.
Suka kerana ada si 'BODOH' yang sanggup bersedia.
Bersedia untuk menjadi 'MANGSA SETERUSNYA'

Aku kah si bodoh itu,
atau kau kah yang beruntung?

Zu 'De Mafia Mom

Wednesday, May 5, 2010

HENTIKAN ALUNAN TABLA ITU!

Tabla itu bergendang terus,
meriuhkan lagi kicauan burung di awan sepi.
Permaidani yang terhampar menjadi panahan mata yang memandang.
Tempat berpijak untuk di injak,
langsung tidak bergerak.

Tabla itu bergendang terus.
Menembus telus ke ruang hati pendengar yang tulus.
Lihatlah permaidani yang terhampar itu terus terusan di injak,
oleh tapak manusia yang berhati kaldu.
Menzalimi pada rentak tarian yang kecundang dan sumbang,
oleh pujuk rayu manusia yang berhati kelam.

Biarkan tabla itu bergendang terus.
Menerawang ke puncak rindu,
walau tiada apa lagi yang bertapak di situ.
Bahkan lalat juga tidak mahu hinggap,
pada hati hati yang rawan yang mencengkam.

Biarkan tabla itu bergendang terus,
Bersiul dalam ratapan pilu yang panjang.
Mentertawakan si ‘BODOH’ yang alpa,
yang tidak pandai berburuk sangka.
Menganggap semua manusia adalah dewa,
Sehingga lupa pada yang sebaliknya.

Biarkan tabla itu bergendang terus,
menari di atas permukaan yang licik.
Biarkan tabla itu bergendang terus,
menerjah bayangan dalam pekatnya ruang malam.
Biarkan tabla itu bergendang terus,
Menghayati alunan peri dan kemanusiaan yang menghilang
Biarkan tabla itu bergendang terus,
Menidak pedulikan ikhsan sesama insan.
Yang bersekongkol dalam dosa semalam
Menapak riak dalam kemegahan.

HENTIKAN ALUNAN TABLA ITU!
Aku tak tahan ke’BINGIT’an.

Friday, April 30, 2010

Terima kasih emak

Assalamualakum untuk emak.

Emak... terima kasih atas kata kata semangat dan kata kata peransang yang emak berikan kepada ku akhir akhir ini. Walau kita tidak terlalu terbuka bercerita mengenai soal kehidupan tetapi sebulan dua ini mak seolah memahami pergelutan yang berlaku di dalam hidupku. Kata emak terdahulu semoga ada orang yang benar benar jujur dan ikhlas untuk menerima aku dan anak anak. Kata mak lagi, mak tidak memilih tapi biarlah seseorang yang boleh menjaga kami. Makkkkk, dalam dunia hari ini, baik lelaki mahupun perempuan, bukan mudah nak mencari yang boleh berkorban hati dan perasaan untuk kita!

Tadi emak menangis lagi dan berkata mak risaukan aku dan anak anak. Yang nampak kuat di luar tetapi sebenarnya sengsara di dalam. Dunia yang penuh dengan perbagai lakonan manusia yang acapkali mengundang petaka. Manusia manusia yang nampak dan bersikap baik pada kita juga kadangkala umpama musuh dalam selimut. Mak, usah mak risaukan aku. Bukankah tahun ini aku akan berusia 40 tahun yang sudah lali mengharung hidup ini. Sudah lupakah emak dengan apa yang pernah anakmu lalui. Jalan berliku yang penuh tajam kerikil sepanjang perjalanan 40 tahun ini. Walau aku ini seorang wanita, ku laksanakan tanggungjawab seorang lelaki!

Emak, tidak ku harap lagi kehadiran bayangan seorang suami andai hatinya tidak membahagiakan cucu cucumu. Aku rela bersendirian sehingga malaikat maut menjemputku pulang andai aku hanya untuk di tuduh nista. Cukuplah apa yang telah aku lalui dulu mak. Aku bukan perempuan murahan atau perempuan sundal yang mengukur di tepi jalan. Aku juga bukan perempuan untuk di pijak sesuka hati kaum adam! Andai aku telah di pijak, di hina dan di nista, aku terima semua itu mak dan akan ku pulangkan semuanya kepadanya kelak!

Emak, hapuskan airmatamu. Biarkan saja airmataku yang mengalir. Biarkan saja hati hati kelam angkara perbuatan kepada kita. Biarkan mereka dengan cara mereka. Dunia ini adil mak. Hari ini mereka menginjak nginjak atau mempersendakan kita, selamanya kah? Sampai masanya, semua akan terlerai.

Walau sebagaimana kehidupan yang harus ku lalui mak, aku masih punya dua orang anak yang masih kecil yang walau sudah memahami pemergian papa, tapi masih acapkali bertanya dan bertanya membuatkan kadang aku lemas dalam soalan yang bertubi tubi. Bagaimana lagi harus ku jelaskan pada mereka mak, sedangkan aku ada banyak perkara lain yang harus aku buat dan fikirkan!

Emak..... aku harus lalui dan tempuhi apa yang sepatutnya aku lalu dan tempuh. Inilah kehidupanku mak. Walau aku tidak berdaya, tapi harus ku gagahkan juga demi dua putera cilikku. Mak, suatu hari nanti... mereka akan mengerti akan perit jerihku membesarkan mereka. Di suatu hari nanti, mereka akan menilai kasih mama tua mereka ini mak!

Salam kasih sayang untuk emak dan putera putera cilikku.

Zubaidah Ayob

Thursday, April 22, 2010

Setahun Hampir Tiba.....

Al-fatihah untuk abang.....
Dunia palsu ciptaan manusia,
bertapak angkuh di persada.
Dunia palsu ciptaan manusia,
berdiri teguh di ambang derita.
Dunia palsu ciptaan manusia,
mencakar keegoan kita semua.
Dunia palsu ciptaan manusia,
meludah ke langit jatuh bertepek ke muka!

Al-fatihah untuk abang.....
Dunia palsu ciptaan manusia ini,
pencetus segala revolusi,
yang tidak pernah berperi,
apatah untuk bersimpati.

Al-fatihah untuk abang.....
Setahun abang pergi meninggalkan kami,
mengundang sengsara yang merimbun di hati,
pedih menusuk umpama pisau belati,
tanpa belas mahupun peri,
di ejek di hina setiap hati,
di perlekeh dan di permain bagai tiada harga diri.

Abang.....
temuilah aku di alam mimpi,
dengarkanlah rintihan kalbuku ini,
agar di permudahkan segala urusan duniawi,
semoga aku dapat kuatkan diri,
menepis manusia yang bermulut manis tiada bergusi,
yang kasihnya hanya sejengkal jari,
berkobar menyayangi menyebar palsu di hati,
dalam baik menipu dan meracun kami,
dengan keangkuhan permainan insani.

Abang.....
temuilah aku di alam mimpi,
kerana aku hampir lemas di sini!

Zubaidah Ayob