Thursday, October 15, 2009

Pastinya Di Sini

From ABANG. Thanks abang for this beautiful poem.


Pastinya Di Sini.

Derap langkahmu gagah,
segagah soldadu ke medan perang.

Memang di persimpangan itu penuh onak dan duri,
hanya insan berhati berani yang bisa lolos,
lolos demi hasrat murni.

Semangat tak bisa hancur,
biar berkoyan ombak menerjah,
walau perit dada pantai menadah,
tetap tergengam janji hasrat nan luhur.

Nun lihat di ufuk,
sinar makin menyerlah,
tertambat salam walau masih basah dan merah,
pasti di sini tertunai hasrat nan indah,
mengecap kasih sayang terpupuk.

Di hadapanmu,
terbentang jalan beralas permaidani indah,
bukan angan tapi mimpi yang jelas,
bukan mimpi bukan igau,
di sini pasti impian berbenih hasrat,
hasrat nan satu mengunci jendela,
jendela hati termaktub kata ikatan suci.
Di belakang mu,
tinggalkan jejak itu,
kerana,
ia hanya indah untuk di kenang,
tapi pahit untuk di rasa.

Pastinya disini,
tempatmu mengecap kemanisan,
kedamaian hati bersama impianmu.

Di Sana Kiambang Ku Bertaut

Abang
Di sepanjang pendakianku ini
Akhirnya membawa aku kepada abang
Hadirnya abang menyuluh jalanku
Hadirnya abang menyentuh hatiku
Walau abang jauh beratus batu
Di hatiku abang tetap ada di sisiku selalu

Abang
Walau halangan berbisa menunggu di persimpangan
Aku tidak akan tunduk pada keegoan
Kerana ianya seperti belati berbisa
Yang menusuk dan menekan di dada
Aku akan tetap membina impian
Agar abang dan aku
Tidak seperti sang punggok yang merindui rambulan
Aku akan tetap membina impian
Agar abang dan aku
Tidak seperti ombak yang menghempas pantai
Lantas memusnahkan segala impian dan harapan
Jangan kerana dek hempasan ombak
Pantai musnah lalu berubah
Jangan kerana dek deruan ombak yang memecah hening
Kita jadi tidak lagi seiring

Abang
Walau ku tau apa yang bakal menanti kita
Akan ku tabah dan sabar jua
Kerana di sana kiambang ku bertaut
Di lubuk hati ku yang dahaga
Kasih abang ku semat di jiwa
Agar nanti tiba jua kebahagiaan kita!

Zu ‘De Mafia Mom

Wednesday, October 7, 2009

Wahai Burung Punggok

Wahai burung punggok
Tidak jemukah kau merindui sang rambulan?
Walau kau tahu sang rambulan hanya akan bertamu
Tetapi tidak bertemu

Wahai burung punggok
Tidak jemukah kau merindui sang rambulan?
Walau kau tahu sang rambulan akan hilang
Bila fajar mula menjelang

Wahai burung punggok
Tidak jemukah kau merindui sang rambulan?
Walau kau tahu sang rambulan bukan milikmu seorang
Datangnya tidak di undang
Perginya pula tidak dapat di halang

Wahai burung punggok
Tidak jemukah kau merindui sang rambulan?
Walau hadirnya hanya seketika
Lantas mengundang rindu yang berpanjangan

ADILKAH UNTUKMU WAHAI BURUNG PUNGGOK?
Sedangkan kau setia menanti sang rambulan
Namun apakah sang rambulan
Akan jatuh ke ribamu?
Lalu menjadi hakmu yang satu?

Wahai burung punggok
Allah SWT yang ESA maha mengetahui
Apakah yang menanti untukmu

Wahai burung punggok
Teruslah yakin sinar sang rambulan
Akan menerangi setiap malammu
Teruslah yakin sinar sang rambulan
Akan bersatu dan menyatu jua akhirnya denganmu!

Zu 'De Mafia Mom

Friday, October 2, 2009

Z U B A I D A H

Di hari yang indah ini, ku selitkan sesuatu dari seseorang yang mungkin sedang memandang atau memantauku dari jauh. Atau mungkin sedang cuba menerjah ke ruang sepi seorang wanita. Kepada seseorang itu, terima kasih untuk sesuatu yang indah ini.

Z U B A I D A H

Zalimkah aku,
pabila aku melambai hati mu,
disaat kau masih mengingati detik itu.


Utamakah aku,
di mata dan di hatimu,
sedangkan aku masih berpimpin jejari halus,
pastinya bukan kamu.


Bahagiakah kau,
dengan meratapi detik itu, sedangkan sehiris hati tersedia buat mu,
untuk kau huni.


Alphakah kita,
yang sering melempar senyum dan pengharapan,
sedangkan itu umpama mimpi,
yang akan pergi seiring dengan mentari.


Istikomahkah kita,
dalam pertalian ini, sedangkan rasa jiwa mula mencengkam bisa,
bakal terubatkah ia.


Dapatkah aku,
menggapai impian,
sedangkan engkau kekadang jauh tidak terucap,
dekatnya mengundang tangis.


Aduhai,
tercapaikah impian,
sedangkan kesemuanya masih di awangan tanpa kepastian,
atau itu igauan.


Haruskah aku,
menerjah hati sepi insan,
sedangkan ada insan lain yang mungkin kesepian,
dimanakah aku.

Thursday, September 17, 2009

Abang

Abang sayang
D daerah ini hatiku terpinggir
Jiwaku meruntun dalam keresahan
Kepulan awan tidak ku terlihatkan
Gemersik suara kicauan unggas juga tidak kedengaran

Aku
Aku masih tetap di sini bang
Menyimpul ingatan kasihku padamu
Memintal kenangan dan gelak tawa kita
Juga sendu tangis yang tak hilang bisanya

Abang sayang
Ku mencarimu ke segenap pelusuk dunia
Namun abang tidak kelihatan di pacainderaku
Abang sayang
Datanglah kepadaku bang
Walau hanya di dalam mimpi mimpiku

Setiap malam ku menunggu
Abang hadir di depanku
Akanku bajai setiap waktu
Agar kasih kita tetap menjadi satu

Zu ‘De Mafia Mom

Thursday, May 14, 2009

03 Mei 2009

Abang sayang
Ku sangka panas sampai ke petang
Rupanya hujan di tengah hari
Ku sangka kita akan bersama di hari tua kita
Rupanya abang ‘pergi’ sebelum tua kita tiba

Abang sayang
Hatta segunung berlian takkan dapat ku tebusmu kembali
Selautan intan takkan dapat ku tukarkan ganti
Cepatnya abang ‘pergi’ meninggalkan aku
Sehingga ku rasa gelapnya dunia tanpamu abang

Terbukti sudah janji yang ku pateri dulu
Aku akan menjadi isteri abang sehingga maut memisahkan kita
Tiada apa akan dapat menjarakkan kita
Kecuali ‘mati”
Janjiku untuk menjadi isteri abang sampai akhir hayat
Telah ku tunaikan
Janjiku untuk setia bersama abang
Telah terbukti

Abang sayang
Walau abang kini sudah ‘tiada’
Walau abang kini sudah menuju ke suatu destinasi berbeza
Aku masih sayang dan merinduimu bang
Aku masih menunggu abang walau ianya mustahil
Aku masih memerlukan abang walau ku tahu
Permintaan dan harapan ku ini tidak akan berlaku

Abang sayang
Akan ku besarkan zuriatmu dengan sepenuh jiwa
Akan ku bela nasib mereka
Akan ku berikan hak mereka yang sepatutnya
Dan akan ku tunggumu di penghujung persimpangan dunia
Semoga ku temukan abang ‘di sana’

Ku relakan pemergian abang
Ku pasrah dengan ketentuan NYA
Semoga roh abang di tempatkan dalam golongan
Orang orang yang beriman
Dan semoga abang tenang bertemu NYA

Abanggggggg
Pergilah sayangku
Pergilah kasihku
Pergilah abang dalam limpahan kasih dan sayangku
Aku juga akan menyusul abang suatu hari nanti

Selamat tinggal ABANG
Namun abang akan sentiasa di hatiku dan di hati permata hati kita

Zu ‘De Mafia Mom

Semoga Abang Sihat Kembali

Abang…..
Di suatu ketika dulu
Lonjakan amarah menguasai jiwa
Buaian kecewa membuai rasa
Tetapi hari ini abang
Aku mengangkat kedua tanganku
Mendoakan kesejahteraanmu
Mendoakan kesihatanmu
Juga mendoakan kebahagiaanmu

Abang…..
Walau dulu ku kecewa dengan sikapmu
Walau dulu ku menangis kerana caramu
Walau dulu ku hampa dengan layananmu
Tetapi ketika dan saat ini
Aku tetap menanti
Masih tetap ku di sisi

Abang…..
Biar setega mana abang padaku dulu
Biar seburuk mana kebajikan abang padaku dulu
Biar seteruk mana layanan dan sikapmu padaku dulu
Namun
Bila abang menderita kesakitan
Bila abang terbaring lesu tidak bermaya
Aku dan anak anak masih menanti
Aku dan anak anak masih tetap di sini
Aku dan anak anak menjagamu dengan sepenuh hati
Walau seperit mana derita kami keranamu dulu
Walau airmata kami tidak pernah kering keranamu dulu

Abang…..
Dulu airmataku mengalir
Kerana di persiakanmu
Kini airmataku masih juga mengalir
Menangisi derita sakitmu abang

Abang…..
Walau aku tidak bahagia
Walau aku kecewa
Tetapi aku tetap ingin melihat abang sihat semula
Bukan demiku bang
Tetapi demi anak anak kita yang masih kecil
Yang masih tidak mengerti apa yang kita lalui kini

Abang…..
Kuatkanlah semangatmu
Kuatkanlah azam mu
Nescaya masih ada juga rahmat dari NYA
InsyaALLAH abang masih ada masa
Untuk kita bersama sama melalui kehidupan ini bersama!
SEMOGA ABANG KEMBALI SIHAT
AMIN AMIN YA RABBAL ALAMIN

Zu ‘De Mafia Mom