Friday, December 18, 2009

Al Fatehah - Hairusnizam Bin Alwi

Apology dan kenangan untuk arwah abang HAIRUSNIZAM BIN ALWI. Al Fatehah.

Abang,
Walau hidup kita dulu selalu tidak sehaluan,
Walau hidup kita dulu sentiasa tidak aman,
Walau hidup kita dulu kerap tidak keruan,
Seperkara yang aku pasti,
Aku tetap setia sebagai isteri abang,
Aku tetap ada untuk menjadi tulang belakang abang,
Aku tetap teguh untuk susah bersama abang,
Walau hatiku merintih,
Walau kasih menjadi kudis
Walau nanah menjadi hidangan.

Namun abang,
Pabila abang tiada,
Walau di satu sisi,
Aku bebas dari belenggu derita mu,
Tetapi terlalu banyak onak menanti di hadapanku,
Terlalu banyak racun mengalir di sungai kalbu.

Abang,
Andai ku tahu,
Betapa hebatnya cabaran menantiku,
Inginku pergi bersama abang,
Biarlah aku tidak menjamah bahagia.

Abang,
Sampai bila aku harus begini?
Onak dan duri mencacak di tapak kaki,
Darah mengalir lesu,
Berlagu merdu dalam ratapan pilu.

Abang,
Mereka kah itu?
Yang menolakku ke kancah duka,
Yang menghiris hatiku dengan kata kata mereka,
Yang kononnya menyayangiku umpama saudara,
Tetapi benarkah atau berselindung di sebalik rupa!

Abang,
Apakah mereka fikir aku ini sudah lupa,
Hanya kerana kini aku merasa setitis bahagia,
Yang hadir bersama seseorang yang aku damba,
Yang hadir menjanjikan aku bahagia,
Walau hakikatnya masih juga belum ku pasti arahnya,
Biarlah takdir menentukan segala.
Lagi pula aku sudah lali dan sebati dengan derita,
Apa lah sangat untuk sekali lagi tidak bahagia!

Namun abang,
Hati ku memang benar benar menjadi korban,
Korban kepada perasaan,
Perasaan angkuh para sahabat,
Yang langsung tidak bersepakat,
Apa tah lagi mahu berjabat,
Sedangkan aku amat keletihan,
Merasa haus dalam perjalanan,
Mengharap kasih sahabat,
Tetapi lihatlah apa yang aku dapat.

Abang,
Sesungguhnya aku sudah tidak larat,
Untuk terus mengutar pendapat,
Kerana fikiran ku sudah penat,
Memikir mana seteru mana sahabat.
Mana manis dan mana kelat,
Mana racun dan mana ubat.

Abang,
Walau hakikatnya abang di sana,
Semoga abang sentiasa dalam lindungan dan keredhoanNYA,
Perginya abang ku iringi doa,
Sesungguhnya aku tidak pernah lupa,
Namun aku harus memandang ke hadapan,
Demi putera putera yang sedang membesar,
Walau apa pun yang akan mendatang,
Walau apa pun perubahan di dalam kehidupan kita,
Aku akan memegang teguh segala janji dan amanah,
Zuriat abang sentiasa ku jaga,
Sehingga masanya tiba,
Bertemu abang dan putera putera,
Di alam akhirat semoga bertemu
Aloy dan Danish anak anakmu.

Aku?
Ku peluk abang rupanya angin,
Ku cium abang rupanya bayangan,
Ku kejar abang rupanya misteri,
Ku lambai abang rupanya mimpi.

Tolonglah aku abang,
Bagaimana lagi harus ku tempuh esok dan hari hari mendatang,
Pada derita yang tanpa ku undang.

Abang,
Salam Maal Hijrah 1431.

ZUBAIDAH BINTI AYOB

No comments: